Menu

Pendidikan komuniti dalam masalah kewangan, saya harus berusaha

0 Comment

          Pendidikan adalah suatu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan-insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Nama diberi ialah Nur Azemah Binti Mohmad Yusof dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Saya mendapat tawaran dalam program Ijazah sarjana muda perakaunan dengan kepujian. Perakaunan bermaksud pengukuran, pendedahan atau peruntukan kepastian mengenai maklumat yang membantu pengurus dan orang lain yang membuat keputusan perniagaan bagi membuat keputusan mengenai peruntukan sumber. Perakaunan merupakan pilihan pertama saya kerana untuk menjadi seorang yang ingin membantu keluarga dan komuniti dalam masalah kewangan, saya harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita menjadi seorang akauntan bumiputera yang berjaya dan berwibawa. Komuniti pula bermaksud masyarakat manusia yang tinggal bersama-sama. Boleh juga dikatakan komuniti itu merupakan jaringan perhubungan antara pelbagai individu. Sebelum mencapai cita-cita ini, saya harus merentasi pelbagai rintangan dan halangan yang sukar. ‘Sebelum belajar sememangnya sukar tetapi jika sudah belajar pasti senang.’ Masih teringat dengan kata-kata bapa saya. Inilah kata-kata yang selalu membuatkan saya bangkit daripada kejatuhan. Ilmu yang baik datangnya dari ilmu hasil usaha sendiri yang dibantu oleh rakan-rakan dan juga tenaga pengajar dan bukannya meniru hasil kerja orang lain. Bak kata perpatah pipih tidak akan melayang, yang bulat tidak akan datang bergolek.          Antara kursus yang ditawarkan di UPSI adalah berkaitan dengan ilmu perakaunan seperti pengauditan, percukaian, ekonomi and sebagainya. Pada era globalisasi kini, kemahiran menguruskan wang sangat penting bagi membantu komunit agar lebih bijak berbelanja dan peka terhadap persekitaran  ekonomi yang meningkat. Oleh itu, untuk mencapainya komuniti perlulah mempunyai suatu sistem perancangan pengurusan kewangan yang berkesan agar perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik. Sesungguhnya setiap orang memerlukan pengurusan  kewangan yang sistematik bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam menjalani kehidupan seharian. Malahan setiap individu mempunyai impian yang harus dilaksanakan, namun semua ini memerlukan kewangan yang mencukupi. Golongan yang merupakan sasaran terbesar memerlukan kemahiran pengurusan kewangan ialah pelajar. Pelajar merupakan golongan pertama di peringkat awal yang harus mempelajari sistem pengurusan kewangan yang sistematik bagi membantu dalam apa jua keadaan. Pelajar yang dimaksudkan adalah dari kalangan pelajar sekolah menengah, pelajar IPTA dan IPTS. Tanpa pengurusan kewangan yang bijak, pelajar mungkin mengalami kesempitan wang terutama bagi mereka yang bergantung harap kepada wang PTPTN. Seterusnya, pekerja juga harus mengetahui dan mempelajari pengurusan wang yang betul. Hal ini kerana apabila seseorang itu meningkat dewasa semakin banyak tanggungjawab yang harus dipikul. Mereka harus menyimpan wang untuk diri sendiri, keluarga dan sebagainya. Sekiranya pengurusan wang tidak dilaksanakan dengan betul, mereka akan mengalami masalah kewangan seperti kehabisan wang pada pertengahan bulan dan tiada sebarang simpanan. Bagi golongan yang melakukan pekerjaan sendiri, mereka juga akan mengalami masalah kewangan sekiranya pekerjaan yang dilakukan tidak berjaya. Mereka akan mengalami hutang yang kian meningkat dan kemungkinan akan muflis. Ketiga ialah suri rumah. Kita tidak seharusnya beranggapan menjadi seorang suri rumah tidak memerlukan perancangan kewangan yang sistematik. Suri rumah amat memerlukan perancangan kewangan yang betul kerana mereka harus menguruskan pelbagai aspek dalam kehidupan antaranya mereka harus mengetahui kaedah dalam membuat pembelian keperluan harian seisi keluarga bagi membolehkan baki wang dapat disimpan untuk masa hadapan mahupun kecemasan. Suri rumah juga harus peka keadaan semasa seperti keadaan ekonomi, harga barangan di pasaran dan sebagainya. Selain itu, pesara juga merupakan golongan yang tidak terlepas daripada orang yang memerlukan pengurusan kewangan. Walaupun dikatakan golongan ini mampu untuk membuat pengurusan kewangan yang sistematik, namun terdapat juga pesara yang kehabisan wang pencen dalam masa singkat kerana mereka tidak mempunyai pendedahan yang betul tentang teknik pengurusan kewangan. Oleh kerana itu, saya akan mengadakan kelas kepada komuniti untuk menyediakan belanjawan peribadi terhadap dirinya. Disegmenkan kepada pelajar, pekerja, suri rumah, pesara dan komuniti setempat. Belanjawan peribadi ini berfungsi sebagai alat untuk memastikan naik turun perbelanjaan pada setiap bulan seperti pebelanjaan bil air, bil elektrik, cukai-cukai, petrol dan sebagainya. Komuniti juga perlulah berhati-hati dalam menggunakan wang untuk tujuan perbelanjaan bagi mengelakkan sifat pembaziran kerana ekonomi kini sedang menghadapi krisis yang agak tidak stabil. Bak kata pepatah, sebutir beras ibarat setitik peluh petani. Jika pendapatan seseorang itu diuruskan dengan baik, maka kedudukan kewangan pasti akan berada dalam keadaan yang stabil. Kebolehan menguruskan kewangan dengan bijak merupakan satu kemahiran yang penting supaya komuniti boleh berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan yang diingini. Setiap individu perlu mengawal kewangan meskipun tidak mempunyai masalah kewangan. Cara seseorang menggunakan wang pada hari ini akan memberi kesan terhadap cara hidupnya pada masa akan datang. Tambahan pula, terdapat kemungkinan komuniti akan menghadapi masalah kewangan akibat peristiwa di luar kawalan seperti mendapat penyakit, kehilangan sumber pendapatan dan kecemasan keluarga yang hanya dapat diselesaikan dengan wang ringgit. Justeru, tidak kira kita ini siapa, kita tetap memerlukan pengurusan kewangan dengan mengamalkan teknik yang betul bagi menjamin kewangan kita berada dalam keadaan yang stabil pada setiap masa.          Seterusnya, pengguna yang tidak peka terhadap isu-isu semasa akan mudah terpengaruh dengan gejala-gejala negatif. Bagi membantu pengguna lebih cakna dan tidak mudah ditipu oleh agen-agen yang tidak bertanggungjawab, saya selaku seorang pelajar yang telah mempelajari subjek undang-undang perniagaan dan undang-undang syarikat boleh membantu mereka untuk mengenalpasti pengesahan perkhidmatan tawaran syarikat berkenanan daripada Kementerian Sumber Manusia atau terus dapatkan khidmat nasihat daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Komuniti juga janganlah mudah percaya dengan iklan yang disiarkan terutamanya yang berhubung melalui telefon bimbit atau sistem pesanan ringkas (sms). Komuniti juga perlu berwaspada akan teknik untuk membuat bayaran dahulu, sebelum mendapat atau menerima sebarang perkhidmatan atau kerja yang ditawarkan. Agen-agen yang tidak bertanggungjawab ini, seringkali menawarkan pekerjaan menarik yang boleh dilakukan di rumah seperti kerja mengisi katalog dalam sampul surat yang sememangnya mudah dan menarik. Begitu juga dengan memasang barang permainan, mengirim koleksi setem dan foto-foto yang bukannya peluang untuk komuniti mendapatkan wang, malah, menjadi peluang kepada mereka untuk membuat wang dengan menipu komuniti. Kebanyakan iklan sebegini tersiar di akhbar, internet termasuk diedarkan melalui risalah yang dihantar ke peti surat di rumah. Sebahagian daripadanya telah terbukti kebenarannya seperti yang diiklankan, namun sebahagian lagi dikesan penipuannya oleh orang ramai sehingga membabitkan kerugian mencecah ratusan ringgit. Kegiatan ini bukan perkara baru, namun ia terus berleluasa kerana sukar untuk menjejaki penjenayah yang bijak berselindung di sebalik taktiknya yang licik. Agen ini sangat licik dan gemar mengambil kesempatan terhadap orang lain dan mengetahui proses untuk membuka serta menguruskan akaun di bank. Selain itu, mereka ini mempunyai rakan untuk mengendalikan panggilan, sms, penghantaran borang dan lain-lain lagi. Antara sasarannya ialah individu yang mempunyai masa lapang, individu yang mahu cari rezeki sampingan dan suri rumah yang ingin membantu untuk meringankan beban tanggungan keluarganya. Modus operandi bagi melaksanakan operasi ini ialah suspek akan masukkan iklan kecil dalam akhbar harian untuk menarik perhatian mangsa. Kedua, mereka akan menggunakan alamat yang palsu iaitu alamat yang tidak wujud, pejabat kosong, pejabat orang lain atau alamat peti surat perkhidmatan pos agar identiti serta kegiatan mereka sukar dikesan. Ketiga, orang yang tertarik dengan pengiklanan tersebut boleh terus menghubungi mereka melalui telefon bimbit atau sms. Keempat, suspek akan meminta nama dan alamat mangsa untuk mengirimkan borang pendaftaran. Kelima, mangsa diminta untuk memasukkan wang deposit iaitu wang pendaftaran kerja ke dalam akaun syarikat atau dibayar melalui kiriman wang, cek atau wang pos. Keenam, mangsa kemudiannya perlu mengirim borang pendaftaran yang diisi bersama slip bank ke alamat syarikat berserta dengan satu sampul kosong bersetem. Akhirnya, setelah mangsa mengirimkan kesemua dokumen yang diminta, suspek akan menghilangkan diri. Inilah kaedah yang sering digunapakai oleh agen-agen yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, komuniti janganlah mudah terpedaya dengan orang yang baik perkataannya tetapi buruk akhlaknya. Bak kata pepatah ‘mulut manis jangan percaya, lepas dari tangan jangan diharap.’           Di samping itu, perniagaan kecil-kecilan juga menjadi arah aliran kepada komuniti kini untuk menjana pendapatan. Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka, perniagaan bermaksud urusan berjual beli untuk mencari keuntungan. Akan tetapi menurut mazhab Syafi’ie pula keuntungan perlulah tidak lebih dari tiga puluh tiga peratus harga pasaran. Oleh itu, saya akan memberikan pendedahan kepada komuniti setempat untuk membina perniagaan kecil-kecilan untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka. Ini kerana saya sudah mempunyai asas dalam perniagaan. Budaya keusahawanan yang di pelajari di UPSI sangat membantu untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang prosedur pengurusan perniagaan. Antara contoh perkara yang perlu dipertimbangkan oleh komuniti sebelum memulakan perniagaan mereka ialah pasaran. Adakah produk mereka mampu menyelesaikan masalah pengguna yang kritikal? Semakin besar masalah yang dapat diselesaikan, semakin baik produk atau perkhidmatan tersebut. Jika mempunyai ramai pengguna yang menghadapi masalah sebegini, jadi pengguna boleh mendapatkan tawaran dari perniagaan itu. Seterusnya ialah kewangan. Berapakah harga yang sanggup dibayar oleh pengguna? Harga itu perlu mengikut konsep permintaan dan penawaran untuk membina keseimbangan dalam pasaran. Kewangan ini juga perlu dibelanjakan untuk kegunaan periklanan kepada pelanggan sasaran untuk menyebarkan tentang kewujudan perniagaan dan tawaran produk yang disediakan. Jika boleh biarlah murah agar tidak menanggung beban periklanan yang tinggi. Sebagai contoh komuniti boleh menggunakan laman ‘facebook’ sebagai alat untuk menyebarkan maklumat. Seterusnya ialah komuniti perlu menyetahui modal yang diperlukan untuk memulakan perniagaan tersebut. Pada peringkat awal, komuniti perlu menggunakan modal yang sedikit supaya dapat melihat perjalanan perniagaan tersebut. Komuniti juga boleh memulakan perniagaan dari rumah sahaja tanpa perlu menyewa kedai atau pejabat. Untuk mengelakkan penjual ditipu semasa berniaga, barangan yang dijual perlulah dibayar dahulu dan disertakan resit pembayaran kepada pelanggan agar kedua-duanya berpuas hati dalam berjual beli. Selain itu, pemilihan produk atau perkhidmatan yang unik memainkan peranan penting. Apabila produk itu berlainan dengan persaing dari segi kualiti, jenis dan sebagainya, jadi pengguna akan lebih memilih produk yang memberi keuntungan kepada diri mereka. Produk yang unik juga sukar ditiru oleh persaing. Jadi ia memberi satu kelebihan kepada perniagaan itu. Zaman kini, perniagaan juga bukan sahaja dapat dilihat secara terangan malah, dapat dibuat menerusi ‘online’. Dengan cara ini, pengguna tidak perlu keluar rumah untuk membeli barangan yang diingini. Cara ini lebih mudah tetapi lebih merbahaya jika berurusan dengan penjual yang tidak bertanggungjawab. Dari segi masa pula, komuniti perlu menentukan jangka masa yang perlu diambil untuk memulakan perniagaan tersebut. Ertinya untuk memberi persediaan agar dapat membuat pemasaran  pembelian dan seterusnya menunaikan pembelian. Perancangan jangka panjang atau pendek perlu ditentukan oleh seseorang itu selepas perniagan bermula. Ini kerana, jika difikirkan boleh bertahan lama dalam pasaran, maka jangka panjang harus diambil. Justeru itu, komuniti juga dapat menambahkan pendapatan bulanan mereka. Walaupun sedikit dari hasil perniagaan kecil-kecilan tetapi ianya amat berbaloi kerana dari perniagaan kecil inilah akan menjadi besar seperti perniagaan Dato’ Sri Aliff Syukri. Bak kata pepatah ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’.          Akhir sekali ialah dapat meningkatkan taraf kualiti kehidupan komuniti. Walaupun saya tidak mengambil program perguruan tetapi ilmu mampu dikongsi bersama. Penguasaan ilmu pengetahuan melambangkan kualiti hidup yang baik. Setiap individu perlu mengejar dan menambah ilmu setinggi yang boleh supaya tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Carilah ilmu hingga ke negara China serta ilmu ada di mana-mana dan tuntutlah ilmu setinggi mana yang boleh. Ilmu yang dituntut pula tidak terhad kepada cabang ilmu sains dan teknologi sahaja malah dalam pelbagai bidang ilmu supaya insan berilmu yang terhasil merupakan insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Hal ini demikian, sejajar dengan falsafah pendidikan negara. Individu yang berilmu akan membentuk komuniti yang berfikiran rasional, berinovasi, dan berdaya saing setanding dengan komuniti berilmu di negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan sebagainya. Individu yang berilmu dapat mengangkat martabat diri, keluarga, dan meningkatkan taraf hidup supaya keluar daripada kepompong kemiskinan apabila mendapat pekerjaan yang baik ataupun menjadi usahawan yang berjaya. Malah, negara akan mempunyai aset modal insan bagi  mentransformasikan Malaysia bagi mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 dan komuniti dapat hidup dalam keadaan yang harmoni dan bersatu padu selaras dengan aspirasi konsep 1 Malaysia. Selain itu,  amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, komuniti akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, komuniti hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui aktiviti senaman seperti berjoging, bermain badminton, berenang dan sebagainya. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan yang mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka lebih tinggi. Individu yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan individu yang jarang bersukan. Apabila komuniti tidak melakukan gaya hidup sihat, mereka akan mengalami kesihatan yang tidak sihat dan kehidupan seharian akan terjejas. Contohnya, individu yang bekerja akan meminta cuti, pelajar juga akan terlepas pelajarannya pada hari itu dan lain-lain lagi. Di dalam kursus perakaunan, terdapat juga subjek kokurikulum yang menjadikan saya lebih aktif di luar bilik belajar. Oleh itu, subjek kokurikulum yang telah saya pelajari akan membantu komuniti agar lebih mengutamakan kesihatan mereka. Kata-kata, “Otak yang cerdas terletak pada tubuh badan yang sihat” membuktikan bahawa kecerdasan otak banyak bergantung pada keaktifan seseorang itu. Hal ini amat penting bagi keseimbangan fizikal dan rohani dalam perkembangan kehidupan komuniti.

x

Hi!
I'm Alex!

Would you like to get a custom essay? How about receiving a customized one?

Check it out